KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) menasihati Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin supaya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghasut masyarakat membenci Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Presidennya, Ustaz Dr. Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, semua pihak perlu menyerahkan bidang keselamatan negara kepada pihak PDRM yang tidak akan sesekali mengaitkan fatwa Ibnu Taimiyyah dengan keganasan melainkan berdasarkan bukti kukuh dan fakta.
“Kepada pihak mufti yang sering silap bersangka, silap fakta dan dilihat pro ekstremis eloklah kita muhasabah. Berdiam diri dan beradab lebih baik dari mengeluarkan kenyataan yang merosakkan akhlak.
“Ketahuilah bahawa PDRM tidak semberono mengaitkan fatwa Ibnu Taimiyyah dengan keganasan, melainkan berdasarkan bukti kukuh dan fakta yang didedahkan sendiri oleh penjenayah yang ditahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian berikutan Mufti Perlis didakwa mempertikai kredibiliti dan peranan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung isu kaitan Ibn Taimiyyah dengan doktrin Militan Islamic State (MIS).
Zamihan mendakwa, Mufti Perlis baru-baru ini dengan lantang menyifatkan akademik bukan bidang Ayub Khan dan memberi gambaran seolah-olah beliau tidak layak bercakap tentang pemikiran Ibn Taimiyyah.
Kata beliau, sebagai seorang Mufti, Mohd. Asri sepatutnya tidak mencampuri urusan keselamatan negara kerana ia bukan dibawah kepakaran beliau.
Katanya, perlu diingat bahawa bidang kepakaran Mohd. Asri adalah bahasa arab dan sastera, bukan ilmu, feqah, akidah atau keselamatan negara.
Justeru, katanya, Mohd. Asri tidak layak mempersoalkan kredibiliti dan tugasan yang dilakukan oleh Ayub Khan.
“Pernahkah Mufti Perlis mengkaji undang-undang keselamatan, turun ke lapangan bertemu penjenayah, menyiasat dan melakukan pemulihan ke atas penjenayah militan?
“Jika tidak, beliau sewajarnya menutup mulut dan berhenti dari membuat kenyataan sembrono. Kedudukan sesuatu kebenaran bukanlah boleh ditentukan dengan fakta dan kajian akademik semata-mata. Sebaliknya dapatan PDRM banyak dibuktikan dengan maklumat risikan, analisis pakar dan keterangan kes di mahkamah,” tegasnya.
Malah, kata beliau, PDRM mempunyai kumpulan pakar rujuk tersendiri yang terdiri daripada pakar-pakar akademik dan pegawai senior yang berilmu dan berpengalaman luas berbanding Mohd. Asri.
“Sedikit aneh apabila beliau menyebut bahawa akademik bukan bidang Ayub Khan, sedangkan dirinya sendiri tidak punyai maruah untuk bercakap tentang keselamatan negara yang pasti bukan bidang kepakarannya,” ujar beliau. – Mynewshub.cc