PETALING JAYA – Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengakui prestasi mereka merosot pada kejohanan Terbuka Jepun dan Korea Selatan akibat jadual padat selepas pulang dari Sukan Olimpik Rio de Janeiro.
Wee Kiong berkata beliau dan V Shem perlu menghadiri pelbagai majlis penghargaan ekoran kejayaan meraih pingat perak di Sukan Olimpik pada Ogos lalu, dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi mereka.
Dalam dua kejohanan itu, Wee Kiong-V Shem tersingkir seawal pusingan kedua di Terbuka Jepun dan bangkit pada Terbuka Korea namun cabaran mereka tersekat di separuh akhir.
Gandingan negara itu perlu meningkatkan prestasi mereka dalam beberapa kejohanan selepas ini untuk melayakkan diri ke Final Siri Super Dunia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada 14 hingga 18 Dis depan.
“Kami tidak dapat membuat persiapan rapi untuk kedua-dua kejohanan itu kerana sibuk dengan pelbagai majlis selepas pulang dari Rio. Harap situasi berbeza untuk Kejohanan Terbuka Denmark dan Perancis selepas ini.
“Bagi kami, Final Siri Super adalah fokus utama selepas ini. Harap kami dapat layak ke kejohanan itu,” kata Wee Kiong kepada pemberita selepas menerima penghargaan daripada syarikat pembekal barangan kesihatan OSIM Malaysia hari ini.
Wee Kiong juga berkata beregu lelaki dari China menunjukkan kebangkitan dan beliau dan V Shem perlu lebih banyak latihan untuk tampil lebih kompetitif.
“Di Terbuka Jepun dan Korea sebelum ini, saya lihat China mempunyai gandingan muda yang sangat bagus dan berpotensi besar.
“Begitu juga dengan Indonesia dan Denmark yang mempunyai tiga beregu lelaki yang bagus,” katanya. – BERNAMA

