KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat punca sebenar kejadian belon meletup pada majlis anjuran jabatan itu baru-baru ini.
Pengarahnya, Dr. Mohamad Omar berkata jawatankuasa itu akan menyiasat kandungan sebenar belon kerana laporan awal yang diterima berkemungkinan besar belon itu bukan diisi dengan gas helium kerana gas berkenaan tidak mudah terbakar.
“Kemungkinan juga belon berkenaan diisi dengan gas hidrogen atau lain-lain gas yang mudah terbakar dan kita akan siasat mengenai perkara itu kerana ia melibatkan kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat 10 pesakit mangsa tragedi itu yang masih menerima rawatan di HSNZ di sini.
Dr. Mohamad berkata pihaknya akan mengambil langkah-langkah keselamatan dengan mengadakan penilaian risiko terlebih dahulu sebelum sesuatu majlis anjuran jabatan diadakan.
Beliau yang kesal dan dukacita atas kejadian itu berkata Jabatan Kesihatan Negeri juga telah menghentikan penggunaan belon dalam semua acara rasminya sehingga menerima arahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan.
Dalam kejadian pada majlis sambutan Hari Penglihatan Sedunia Jumaat lepas, sebanyak 150 belon yang hendak dibahagi-bahagikan kepada kanak-kanak selepas majlis berkenaan meletup menyebabkan tujuh mangsa dimasukkan ke wad manakala 24 lagi diberi rawatan sebagai pesakit luar.
Bagaimanapun semalam, tiga daripada 24 mangsa yang dirawat sebagai pesakit luar, telah datang semula membuat pemeriksaan dan dimasukkan semula ke wad menjadikan 10 orang yang masih menerima rawatan.
Daripada jumlah itu, seramai enam pesakit menerima rawatan di unit kebakaran, tiga orang di wad plastik dan seorang yang paling teruk kerana melecur hingga 18 peratus, iaitu kanak-kanak berusia sembilan tahun dimasukkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).
Dr. Mohamad berkata, kebanyakan mangsa mengalami kebakaran di bahagian permukaan atas kulit, tetapi terdapat empat pesakit yang mengalami kebakaran agak dalam sedikit yang memerlukan rawatan pemindahan kulit.
“Kita sudah buat rawatan kulit satu kes, dan tiga kes lagi akan dibuat hari ini atau esok, bergantung kepada penilaian harian oleh doktor pakar yang merawatnya,” katanya.
Beliau berkata doktor akan cuba mengelak berlakunya serangan kuman, yang selalu menjadi masalah apabila kulit terbakar dan juga mengelak berlakunya parut yang tebal menyebabkan pergerakan mangsa terbatas dan kulit tidak cantik. – BERNAMA

