KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang menggesa orang ramai membuat aduan segera jika mendapati peniaga tidak patuhi harga Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2016.
Timbalan Pengarahnya Alwi Abdul Hamid berkata KPDNKK mengerahkan 200 anggota penguat kuasa untuk membuat pemantauan di seluruh negeri sepanjang tarikh skim kawalan harga 18 barangan itu berkuat kuasa hari ini sehingga 1 Nov dengan dibantu oleh agensi lain dan badan bukan kerajaan.
“Jika curiga dengan peniaga, mereka boleh membuat aduan di pejabat KPDNKK atau hubungi talian 09-5717777,” katanya kepada pemberita selepas menyertai pemeriksaan dan melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2016 peringkat negeri di pasar raya LYC Indera Mahkota di sini, hari ini.
Alwi menasihatkan peniaga untuk tidak menaikkan harga barangan kawalan melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu yang membezakan barangan harga kawalan sepanjang skim kawalan harga berlangsung.
Kegagalan mematuhi peraturan skim kawalan harga membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya atau dikenakan kompaun tidak melebihi RM25,000 manakala syarikat yang terlibat boleh didenda sehingga RM100,000, katanya.
Sementara itu, Alwi berkata KPDNKK bersedia menyiasat dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang bahawa wujud penjualan pelekat pemantul cahaya kenderaan perdagangan tiruan di sini.
Penggunaan pelekat itu akan diwajibkan ke atas semua kenderaan perdagangan mulai 1 Jan 2017 sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan pada waktu malam. – BERNAMA