KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air di daerah Petaling akibat penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang tercemar sejak 22 Sept lepas, telah pulih sepenuhnya.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor Amin Lin Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, bagaimanapun beberapa kawasan di daerah Hulu Langat yang berada di kawasan tinggi dan hujung sistem agihan air, iaitu Rumah Pangsa Baiduri, Bandar Tasik Kesuma dan Bandar Sunway masih dalam proses pemulihan.
Sehubungan itu, bantuan bekalan air akan terus dihantar dengan lori tangki ke kawasan terlibat di Daerah Hulu Langat sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.
“Bagi mempercepatkan kolam takungan air di sini mencapai dan mengekalkan paras optimum, pengguna di kawasan persekitaran dinasihati untuk mengguna air secara berhemat.
“Siasatan mengenal pasti punca pencemaran masih dijalankan dan akan diteruskan sehingga punca pencemaran dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air ekoran penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dari 22 hingga 24 Sept lepas akibat pencemaran sungai.
Amin Lin berkata pengguna boleh mendapatkan status mengenai pemulihan bekalan air melalui aplikasi telefon bimbit ‘mySYABAS’ atau melayari www.syabas.com.my. – BERNAMA

