KUALA LUMPUR – Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membuktikan pengalaman mentadbir sesebuah negara sangat penting dalam merangka bajet yang mencakupi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd. Shahar Abdullah berkata, Bajet 2017 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) itu tidak seperti Bajet Alternatif 2017 yang dibentangkan pembangkang yang sangat jelas untuk mengejar populariti dalam kalangan masyarakat.
“Dalam keadaan ekonomi global sedang bergelut dengan krisis, kerajaan memberi kelegaan kepada semua pihak dengan membentangkan Bajet 2017 yang saya kira berjaya mencakupi segenap lapisan mayarakat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Shahar berkata, kerajaan BN sangat jelas memberi tumpuan terhadap isu-isu kebajikan masyarakat secara menyeluruh seperti kos sara hidup melalui Bajet 2017.
Menurutnya, ia mencakupi peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar, isu pengangkutan, bidang pendidikan, sektor perusahaan kecil dan sederhana, rumah mampu milik dan lain-lain.
Walhal, katanya, pembangkang dalam bajet alternatif hanya menyentuh isu ‘panas’ seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk menggulakan rakyat dengan janji manis tanpa memberikan jalan penyelesaian.
“Selain isu kos sara hidup, pembangunan mapan terhadap dua sektor kritikal ini berjaya di beri keutamaan dengan baik dalam usaha kerajaan merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat sekali gus memastikan setiap lapisan penduduk di negara ini dapat menikmati prasarana dan akses pendidikan terbaik,” katanya. – MYNEWSHUB.CC