SHAH ALAM – Sebanyak 167 mangsa banjir daripada 43 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di Selangor berikutan fenomena air pasang besar setakat 9 pagi ini.
Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Negeri berkata mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Batu 5, Kapar, Klang yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali, Kapar.
Semalam semua pusat pemindahan mangsa banjir di Sabak Bernam serta satu pusat pemindahan di Klang ditutup dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sungai Pinang Zaidi Ahtan, berkata kawasan penempatan penduduk di Kampung Batu 5 sekali lagi dinaiki air selepas ban yang dibaiki semalam, pecah ketika air pasang pagi tadi.
“Ketinggian air pasang hari ini adalah 5.1 meter dan di daratan mencecah hampir satu meter di kawasan rendah,” katanya ketika dihubungi.
Zaidi berkata, pasukan bomba bersama-sama polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Tindak Cemas Malaysia sentiasa bersiap sedia di kawasan itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku sehingga air kembali surut. – BERNAMA

