PUTRAJAYA – Kira-kira 5,000 warga kerja empat kementerian bergabung menjayakan program Senaman Aerobik Mega sempena Hari Sukan Negara di Padang Dataran Gemilang, Presint 4 di sini pagi ini.
Program tersebut melibatkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, yang merasmikan dan menyertai program itu, berkata Hari Sukan Negara menyemai kesedaran mengenai kepentingan bersukan dan aktiviti itu tidak harus hanya dilakukan pada hari sambutan sahaja.
Beliau berkata ia merupakan agenda nasional dalam usaha membudayakan sukan sebagai suatu amalan gaya hidup sihat, di samping meningkatkan faktor kesihatan yang baik dalam kalangan warga kementerian.
“Jika rakyat sihat, ia mampu memberi impak positif kepada masyarakat dalam menjalankan kerja-kerja seharian, sekali gus meningkatkan produktiviti individu dan negara,” katanya ketika ditemui selepas acara Senaman Aerobik Mega, yang dibimbing Kumpulan Pentarama, KKMM di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri KPWKM Datin Paduka Chew Mei Fun, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Setiausaha KPKT Datuk Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha KPWKM Dr Rose Lena Lazemi dan Timbalan Ketua Setiausaha KKLW Datin Seri Elena Chiang Abdullah.
Sementara itu, Chew berkata penghuni dari Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menceriakan program hari ini bersama warga kerja kementerian-kementerian dan keluarga masing-masing.
Beliau berpendapat jika rakyat meletakkan kesihatan sebagai perkara paling utama untuk dijaga, kualiti hidup serta produktiviti kerja harian juga pasti akan bertambah baik.
Bagi Mohammad Mentek, gabungan kerjasama strategik antara empat kementerian selaras dengan pengoptimuman perbelanjaan dan strategik Lautan Biro Kebangsaan yang diamalkan dalam sistem pentadbiran kerajaan.
Program itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan artis, di samping pelbagai aktiviti antaranya pemeriksaan kesihatan, seni pasir, badut, gerai jualan dan food truck. – BERNAMA