PENERBIT Datuk Yusof Haslam, 62, memberitahu bahawa beliau tidak terlibat sama sekali dalam segala proses penjurian sehingga boleh menyebabkan anaknya, Syamsul Yusof memenangi beberapa kategori utama Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).
Menurut Yusof, beliau baharu sahaja mendapat tahu tentang barisan juri yang menilai karya bertanding dan beliau tidak terlibat sama sekali dengan proses tersebut.
“Saya tidak terlibat dengan sebarang proses penilaian dan saya sendiri baru dapat tahu siapa barisan juri yang mengadili filem yang bertanding.
“Pertikaian ini bukan perkara baru dan Syamsul sendiri kecewa bila sering mendengar tohmahan dan pertikaian yang datang dari orang dalam industri,” katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini terdapat dakwaan yang mengatakan Yusof menggunakan pengaruhnya sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Pengerusi Persatuan Penerbit Filem (PFM) dalam memberi kemenangan kepada filem Munafik.
Walau bagaimanapun, Yusof berkata beliau tidak mahu mengambil pusing tentang pertikaian dan tohmahan yang diberikan kerana ia tidak membantu meningkatkan kemajuan filem negara.
“Mereka yang mengutuk dan mengkritik filem saya sendiri tidak menunjukkan kemajuan dan hanya bersuara apabila ada festival begini.
“Mereka tidak tahu perkara utama bukan berkaitan kemenangan yang dicapai tetapi untuk meraih penonton yang datang ke pawagam.
“Saya bersyukur filem-filem yang kami hasilkan mengutamakan nilai komersial dan kemenangan ini satu bonus sahaja,” tambahnya. -MYNEWSHUB.CC

