KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri termasuk Kelantan walaupun negeri itu ditadbir oleh parti pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Putrajaya akan terus memberi khidmat yang terbaik dan melaksanakan projek pembangunan yang telah ditentukan oleh kerajaan.
Katanya ini selaras dengan dasar kerajaan Persekutuan untuk meneruskan agenda membawa pembangunan di setiap negeri termasuk Kelantan.
“Kita (kerajaan Barisan Nasional) mengamalkan budaya politik iaitu menghormati antara satu sama lain walaupun ada perbezaan antara kita … tidak ada rakyat kerajaan Persekutuan atau rakyat kerajaan negeri, kita semua adalah rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Beliau yang berada di negeri itu bersempena Majlis Amanat Menteri Bersama Warga KKMM di Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan, Wakaf Che Yeh turut menyeru seluruh warga kementerian untuk terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat Kelantan.
Warga KKMM juga dinasihat memastikan dasar-dasar kerajaan Persekutuan dapat diperjelaskan kepada rakyat dengan sejelas-jelasnya bagi memastikan mesej kerajaan sampai dan difahami seluruh masyarakat.
Salleh berkata kerajaan Persekutuan akan terus memberi khidmat terbaik kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik kerana “kerajaan yang datang daripada rakyat adalah untuk rakyat”.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras KKMM Kelantan Datuk Mohd Sabri Abdullah. – BERNAMA

