KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu seorang tertuduh telah memindahkan mayat Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, yang ditemui disumbat di dalam guni dan disimen di dalam tong dram, ke dalam sebuah kereta Proton Perdana.
Pegawai Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman ASP Abdul Hanis Hairul Abdul Halim, 33, berkata tertuduh S.Ravi Chandaran, 45, juga telah membuang mesin pencanai, barang-barang milik Kevin iaitu jam tangan, beg duit dan cincin ke dalam sebuah sungai di Kuala Selangor.
“Pada 18 September tahun lepas, saya soal siasat Ravi Chandaran (tertuduh ketujuh) di bilik gerakan Balai Polis Kuala Selangor.
“Ravi Chandaran dedahkan ada sebuah kereta Perdana digunakan untuk meletak mayat Kevin Morais. Dia (tertuduh) berkata “tuan, ada satu kereta Perdana yang saya guna untuk pindah mayat Kevin pada hari itu (16 September tahun lepas) kereta Perdana warna silver hijau bernombor pendaftaran WHS 9771,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Izzat Fauzan pada sesi perbicaraan kes itu yang masuk hari ke-23, hari ini.
Saksi ke-32 itu berkata Ravi Chandaran juga memberitahu kereta Perdana itu disimpan di rumahnya di Taman Desa Aman, Bedong, Sungai Petani, Kedah.
Abdul Hanis Hairul berkata pada 21 September 2015, beliau bersama tiga anggota dikenali Sarjan Mejar Manaf, Sarjan Hisham dan Koperal Fauzi kemudian telah ke Bedong, Sungai Petani untuk mengambil kereta Perdana itu yang diletakkan di dalam kawasan berpagar di sebuah rumah yang tidak berpenghuni.
“Kereta Perdana itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini,” katanya.
Pegawai polis itu berkata dalam sesi soal siasat di IPD Kuala Muda, Kedah, pada 15 September 2015, Ravi Chandaran turut memberitahu selain mesin pencanai, dia turut membuang barang-barang milik Kevin Morais ke dalam sebuah sungai di Kilometer 46, Jalan Klang-Teluk Intan, Kuala Selangor.
“Dia (tertuduh) beritahu “grinder dan barang-barang Kevin Morais saya campak di sungai di Kuala Selangor”,” kata Abdul Hanis Hairul.
Ketika ditanya lebih lanjut mengenai mesin pencanai, beliau berkata Ravi Chandaran ada memberitahunya ia (mesin pencanai) digunakan untuk memotong nombor casis dan nombor enjin kereta milik Kevin Morais, sebelum kereta itu dibakar.
Menjawab soalan Mohammad Izzat apakah barang Kevin Morais yang dikatakan dibuang bersama mesin pencanai di sungai itu, Abdul Hanis Hairul memberitahu ia adalah jam tangan, beg duit dan cincin, tetapi barang itu tidak ditemui.
Enam lelaki – G. Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 23, M.Vishwanath, 26, S. Nimalan, 23, dan Ravi Chandaran, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.
Kol. Dr. R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. – BERNAMA