BINTANG remaja yang meningkat naik menerusi filem Mukhsin iaitu Syafie Naswip menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga sebelum berusia 30 tahun.
Pun begitu, menurut pelakon ini kepada sebuah portal berita, dia tidak mahu terburu-buru dalam mencari pasangan hidup.
Syafie, 24 yang pernah mengungguli trofi Festival Filem Malaysia menjelaskan bahawa buat masa ini fokusnya adalah untuk terus mengembangkan karier seninya.

“Insya-Allah jika ada jodoh saya menyasarkan untuk berkahwin sebelum umur memasuki 30 tahun.
“Bagaimanapun buat masa ini belum ada calon kerana fokus saya adalah kepada kerjaya seni,” katanya kepada mStar Online.
Jejaka berkulit sawo matang ini pernah mempunyai kekasih hati namun perhubungan mereka tidak bertahan lama.
Walaupun sudah hampir 12 tahun mencanai bakat dalam bidang lakonan, tidak pernah terdetik rasa kecewa di hatinya meskipun kurang mendapat kepercayaan untuk tampil sebagai watak utama sesebuah filem atau drama.
Sebaliknya dia selesa dengan keadaan sekarang kerana percaya populariti itu akan datang dengan sendiri.

“Saya teringat Datuk Ramli MS pernah memberitahu saya jangan fikir tentang populariti sebaliknya sebagai anak seni saya kena lakukan yang terbaik terhadap kerja dan bersikap jujur.
“Beliau juga berpesan jangan fokus kepada populariti kerana ia akan datang sendiri.
“Saya sentiasa pegang kata-kata itu dan jujurnya saya selesa dengan keadaan sekarang,” jelasnya. – MYNEWSHUB.CC