SUNGAI PETANI – “Saya sangat trauma dan fobia,” itu luahan rasa Naim Awang, bapa pelajar Malaysia yang dilaporkan hilang di Paris, Perancis sejak Jumaat lalu.
Sambil mendoakan anak gadisnya itu selamat dan segera dijumpai, katanya beliau bercadang untuk membawa anaknya itu balik ke Malaysia dan menyambung pengajian di tanah air.
Naim, 46, dan isterinya Nur Haluzah Ahmad, 43, dijadual berlepas ke Paris dengan penerbangan pada Sabtu dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) atas biayaan UMNO Bahagian Sungai Petani.
“Baru setahun sudah jadi macam ini, inikan lima tahun (pengajian). Pada awal pengajiannya, dia kata nak balik sebab tak selesa lagi… sebelum ini memang jarang berpisah dengan keluarga,” kata pesawah itu kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Masjid Tanah, Tikam Batu, di sini hari ini.
Nur Sakinah Naim, 19, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengambil Kejuruteraan Kimia di Institute University of Technology (IUT) Roanne di Paris, sejak tahun lalu dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
Kehilangannya disedari rakan sebiliknya yang melaporkan perkara tersebut kepada Kedutaan Malaysia di Perancis.
Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin ketika mengunjungi keluarga itu berkata, UMNO Sungai Petani akan menanggung segala perbelanjaan tiket kapal terbang, penginapan dan wang saku Naim dan isterinya untuk ke Perancis.
“Bagi pihak pejabat Menteri Besar pula, kita akan berusaha membantu apa yang diperlukan dan menjaga keperluan mereka di sini,” katanya.
Katanya setibanya di Paris, mereka akan disambut oleh pegawai Kedutaan Malaysia di Perancis.
Shaiful turut meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kehilangan Nur Sakinah dan berdoa agar pelajar itu dapat ditemukan segera dengan selamat.
“Spekulasi seperti ini hanya akan menyebabkan keluarga tertekan,” katanya dan meminta semua masjid dan surau mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan pelajar itu. – BERNAMA

