TAWAU – Pemilik kapal syarikat San Hap trauma dengan insiden melibatkan 19 anak kapalnya dirompak di perairan Tungku di Lahad Datu, pada Selasa lepas.
Sia Keok Che, 48, yang berasal dari Sungai Besar, Selangor berkata meskipun beliau tidak berada di tempat kejadian namun perkara itu menimbulkan kegusaran dan takut untuk mengarahkan anak-anak kapal lain turun ke laut menangkap ikan.
“Selain kapal terlibat yang ditahan di ibu pejabat polis (IPD) Lahad Datu ketika ini, saya masih ada tiga kapal lain, namun semuanya tidak beroperasi kerana anak-anak kapal rata-rata warga Indonesia juga takut untuk turun ke laut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Pada Selasa lepas, seorang pemilik kapal pukat tunda warga tempatan Ruslan Sarapin, 39, diculik manakala 26 anak kapalnya dirompak sekumpulan penjenayah bersenjata di kawasan berhampiran Pulau Gaya di Semporna.
Sejurus penculikan dan rompakan pertama, dipercayai kumpulan penjenayah sama turut melakukan satu lagi rompakan ke atas sebuah kapal nelayan di perairan Tungku, Lahad Datu, iaitu jarak sejauh 5 batu nautika dan 30 minit masa perjalanan dengan bot laju.
Keok Che berkata ketika kejadian 19 anak kapalnya telah dipukul dipercayai menggunakan senjata api oleh kumpulan penjenayah tersebut.
“Selepas kejadian itu 17 anak kapal saya terpaksa menerima rawatan di Hospital Lahad Datu,” katanya.
Sehingga kini, 19 anak kapal tersebut masih berada di IPD Lahad Datu untuk siasatan.
Di samping itu, beliau berkata jumlah kerugian rompakan dianggarkan mencecah sehingga RM80,000.
“Kumpulan penjenayah ini turut membakar light boat serta mengambil enjin kapal, telefon bimbit berserta wang tunai anak-anak kapal.
“Selain rompakan ini, kami juga rugi sebab tidak dapat turun ke laut,” katanya lagi.
Susulan insiden itu, Keok Che berkata pihaknya akan turut memasang Sistem Pengenalan Automatik (AIS) dalam tempoh terdekat.
Beliau juga meminta agar kerajaan menerusi pasukan keselamatan di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) dapat melakukan rondaan lebih kerap dalam tempoh 10 jam perintah berkurung diadakan dari 7 petang hingga 5 pagi.
“Saya harap pandangan kami daripada industri perikanan juga diambil kira oleh kerajaan,” katanya. – BERNAMA
