BEKAS ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin memohon penjelasan presiden parti itu, Dr. Wan Azizah Wan Ismail berhubung misteri pemecatan beliau, yang masih menjadi tanda tanya.
Menerusi satu surat terbuka dipaparkan dalam blog beliau, Badrul Hisham yang mesra disebut Chegubard turut mempertikaikan tindakan parti tersebut berjaya memecatnya sebanyak dua kali dalam tempoh hanya 12 hari!
Ini termasuk pemecatan pertama beliau dibuat hasil individu tertentu mampu ‘meniru’ tanda tangan Setiausaha Agung, Rafizi Ramli sendiri, jelas aktivis penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang tegar pro-PKR.
“Untuk makluman YB Presiden, pemecatan ini sebenarnya merupakan pemecatan kali kedua saya dalam tempoh 12 hari. Ini bukan sahaja amat pelik tetapi memang agak lucu sekali.
“Bukan satu rahsia surat pemecatan pertama bertarikh 26 Ogos 2016 dikeluarkan ‘meniru’ tandatangan Setiausaha Agung parti tanpa pengetahuan Setiausaha Agung yang mana beliau tidak berada di Kuala Lumpur pada ketika itu.
“Kesalahan meniru tandatangan ini sebenarnya boleh disabit kesalahan Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dengan Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda,” katanya.
Dalam surat terbuka kepada Wan Azizah itu,  Chegubard yang kesal dengan perkara itu turut menyifatkan tindakan pemecatan ke atasnya dibuat sebagai ‘membodek’ Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau merujuk kepada pemecatannya yang dibuat atas arahan seorang pemimpin kanan PKR Selangor, dipercayai R. Sivarasa, sejurus sebelum hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.


Chegubard ketika itu datang membuat laporan korupsi Mohamed Azmin berhubung skandal perubahan status tanah Paya Indah Wetlands apabila Menteri Besar Selangor itu gagal memberi respons selepas tempoh ditetapkannya.
“Amat malang sekali kakitangan ibu pejabat ‘dipaksa’ bertindak oleh seorang pimpinan kanan parti yang juga seorang ahli parlimen di Selangor dan merupakan seorang peguam untuk melakukan jenayah tersebut.
“Dalam perkara ini saya masih lagi menantikan penjelasan daripada parti atau adakah PKR sudah hilang roh ketelusan serta keluhuran undang-undang yang dilaung-laungkan mereka sendiri selama ini?
“Saya juga memohon YB Presiden untuk meneliti semula proses pemecatan saya, adakah ia mengikut prosedur dan lunas keadilan itu sendiri,” tegas Badrul Hisham lagi yang turut dipetik pelbagai penulis blog politik tanah air.
Ramai kalangan mereka menyifatkan luahan menerusi surat terbuka itu membuktikan ada tidak kena dengan Wan Azizah seolah-olah seperti tunggul kayu apabila langsung tidak berfungsi membela nasib Chegubard.
Dalam nada sindir, Chegubard malah menyifatkan PKR tidak ubah seperti UMNO yang memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran lantang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

