Warga Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada Selasa, gempar apabila seorang pesakit ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh bangunan hospital berkenaan.
Dalam kejadian 5.51 petang itu, mangsa, 64,  dilaporkan menyorong sendiri kerusi roda menuju ke pintu keluar dari wad sebelum meninggal dunia.
Insiden ini turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun.
Menurut Muhamad Zaki, mangsa dimasukkan ke wad pada 22 Ogos lalu untuk rawatan darah tinggi, kencing manis, jantung dan buah pinggang.
“Selepas menjalani rawatan hemodialisis jam 3.45 petang tadi, lelaki itu meminta izin jururawat untuk keluar ke beranda tetapi dihalang kerana dia menggunakan alat bantuan oksigen.
“Bagaimanapun, dia menolak sendiri kerusi rodanya ke kawasan beranda wad itu sebelum dikatakan terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian. – MYNEWSHUB.CC