KUALA LUMPUR – Empat jabatan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang disiasat oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan DBKL dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata empat jabatan itu adalah Jabatan Perancangan Bandar, Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Sumber Manusia serta Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan.
“Siasatan ke atas keempat-empat jabatan itu membabitkan aspek amalan, sistem dan prosedur kerja yang digunakan jabatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Penguatkuasa DBKL ke-47 hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi, Datuk Mohd. Saufi Muhammad dan Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL, Datuk Mustafa Mohd. Nor.
Selain itu, Loga Bala berkata kira-kira 2,000 pegawai dan kakitangan di keempat-empat jabatan berkenaan akan diminta membuat pengisytiharan harta bagi memastikan integriti mereka.
Katanya sekiranya terdapat pegawai atau kakitangan terlibat dengan kegiatan rasuah dan salah laku integriti, DBKL akan mengambil tindakan tatatertib ke atas mereka.
Pada majlis itu, seramai 876 pegawai dan kakitangan Jabatan Penguatkuasaan DBKL menyertai perbarisan melibatkan pelbagai kontinjen.
Loga Bala dalam ucapan perasmiannya berkata pegawai dan anggota penguat kuasa yang berintegriti dalam menjalankan tugas dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat dan membantu memakmurkan ekonomi negara melalui hasil kerajaan.
“Dalam melaksanakan tugas, anggota penguat kuasa juga perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan dengan memastikan ia mengikut prosedur betul kerana sedikit kesilapan boleh menjadi viral di media sosial dan merosakkan imej DBKL,” katanya.
Katanya seramai 2,154 pegawai dan anggota penguat kuasa sedang berkhidmat di bawah Jabatan Penguatkuasaan DBKL. – BERNAMA