PASIR SALAK – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang dalam proses membaik pulih dan menaik taraf sistem perparitan dan saliran 12 jelapang padi seluruh negara bagi memastikan hasil yang berkualiti.
Timbalan menteri berkenaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata kerja-kerja itu termasuk menggantikan kesemua parit tanah kepada parit konkrit, membersih dan membina tali air baharu.
“Kita sedang menaik taraf segala parit menjadi konkrit supaya tidak ada lagi masalah seperti tanah rebak, tanah mendap sehingga menjejaskan kelancaran air masuk ke dalam sawah.
“Setiap tahun kementerian membelanjakan berpuluh juta ringgit untuk tujuan itu dan kami akan teruskan sehingga semuanya sempurna kerana ada kawasan telah menggunakan sistem moden dan ada yang baru hendak mulakan,” katanya.
Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif Program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Seberang Perak dan penyampaian zakat perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di sini malam tadi.
Pada majlis itu, Tajuddin menyampaikan insentif berjumlah RM1.83 juta kepada 358 peserta bagi kawasan Seberang Perak yang mengikuti skim NKEA musim 1/2016.
Menerusi skim itu, setiap peserta diberikan RM2,200 bagi setiap hektar untuk semusim, selama lima musim untuk meningkatkan pengeluaran.
Menjelas lanjut, Tajuddin berkata sejak dimulakan pada tahun 2003 hingga sekarang kementerian telah membelanjakan hampir RM100 juta bagi tujuan penggantian itu.
Mengambil contoh kawasan padi di Seberang Perak di sini, Tajuddin berkata 90 peratus daripada kawasan seluas 6,000 hektar telah menggunakan sistem perparitan berasaskan konkrit. – BERNAMA

