KUALA LUMPUR – Seorang pelajar kolej swasta hari ini didenda RM6,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Trafik bagi kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal miliknya.
Mohammad Aswat Hamdan, 20, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan.
Dia didakwa mempamerkan nombor pendaftaran palsu iaitu WFJ9437 di bahagian hadapan dan WFJ6437 di bahagian belakang motosikalnya, di Jalan Parlimen di sini, pada 12.45 malam, semalam.
Mohammad Aswat yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta di sini didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik Insp Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan denda yang ringan dengan alasan dia perlu membayar yuran pengajian. – BERNAMA