KUANTAN – Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur terpaksa ditutup sepenuhnya selama lebih sejam semalam, ekoran sebuah lori yang membawa muatan pasir 10 tan melintang menutupi semua tiga laluan jalan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, DSP S. Somu berkata kejadian di Kilometer 42.2 berhampiran Bukit Tinggi dekat sini, pada 9.10 malam itu dipercayai berpunca apabila lori jenis Volvo yang dipandu Sambri Attan mengalami kebocoran paip brek angin.
“Kerosakan itu menyebabkan lori yang semasa itu melalui laluan mendaki telah mengundur ke belakang lalu melintang di jalan selain muatan pasir yang dibawa telah terbalik.
“Muatan pasir kemudiannya dilanggar oleh kereta jenis Proton Saga dan Toyota Vios dari arah yang sama, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan terhadap semua pemandu ketiga-tiga kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Somu menambah kemalangan itu mengakibatkan lori yang dalam perjalanan dari Temerloh menuju ke Kuala Lumpur tersebut mengalami kerosakan di bahagian depan, pintu sebelah kanan dan pecah lampu belakang manakala kedua-dua kereta rosak teruk pada bahagian hadapan.
Beliau menambah kerja-kerja membersihkan jalan dilakukan dengan serta-merta dan satu lorong dibuka semula pada 10.40 malam, sebelum laluan dibuka sepenuhnya pada 2 pagi. – BERNAMA
