KANGAR – Tanaman jagung boleh mendatangkan pendapatan yang menggalakkan buat petani dan boleh dijadikan tanaman alternatif, kata Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Zainal Dahalan.
Zainal berkata percubaan projek tanaman jagung di Terengganu dan Kedah telah mendatangkan hasil memberangsangkan apabila 18,000 pokok jagung yang ditanam di kawasan seluas satu hektar mampu menghasilkan nilai jualan sehingga RM4,000 ke RM4,500 setiap tuaian.
“Tanaman jagung mudah diusahakan termasuk di kawasan tanah terbiar atau sawah padi yang hanya boleh ditanam padi untuk tempoh satu musim sahaja kerana pokok jagung tidak memerlukan banyak air,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-33 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perlis di sini hari ini.
Beliau berkata dengan menjadikan tanaman jagung sebagai alternatif, petani yang sering berhadapan musim kemarau dan masalah bekalan air untuk tanaman tidak perlu risau untuk menanggung rugi atau terputus sumber pendapatan,” katanya.
Zainal berkata dengan peningkatan hasil jagung tempatan ia juga membantu mengurangkan pengimportan jagung dari luar negara khususnya dari Argentina untuk keperluan makanan haiwan ternakan seperti ayam, lembu dan kambing.
“Setiap tahun negara membelanjakan lebih RM400 juta untuk mengimport jagung terutama dari Argentina bagi sektor ternakan iaitu sebagai makanan haiwan tersebut,” katanya.
Malah, penggunaan bekalan jagung tempatan untuk makanan ternakan mampu memberi impak kepada harga jualan bahan mentah seperti ayam dan kambing yang menjadi lebih murah berbanding menggunakan jagung import,” katanya. – BERNAMA