KUALA LUMPUR – Felda United kekal di tangga kedua carta Liga Super walaupun kalah 2-3 kepada T-Team pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan skuad ‘The Fighters’ kekal dengan kutipan 42 mata manakala T-Team naik dua anak tangga ke kedudukan kelima dengan 26 mata selepas mengharungi 20 perlawanan
Tiga gol T-Team dijaringkan Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-28 dan 74 serta Konate Makan pada minit ke-68 manakala dua gol Felda United dihasilkan Mohd Hadin Azman pada minit ke-50 dan Abdul Shukor Jusoh pada minit ke-70.
Sebagai rekod, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super selepas menang selesa 3-0 ke atas Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam walaupun masih mempunyai baki dua perlawanan.
Kedah pula menang selesa 3-1 ke atas Perak pada pertembungan dua pasukan utara di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Tiga gol skuad Lang Merah dijaringkan Smeltz Shane Edward pada minit keenam dan 58 serta Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-85 manakala gol tunggal Perak disumbangkan kapten pasukan, Thiago Junio de Aquino sembilan minit sebelum wisel penamat.
Terdahulu, pemain kedua-dua pasukan bertafakur selama seminit bagi menghormati pemergian bekas penjaga gol kebangsaan era 50-an, Datuk Yusoff Abu Bakar yang meninggal dunia, semalam akibat sakit tua.
Dalam pada itu, Pahang yang menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan, kembali menghidupkan peluang kekal dalam saingan Liga Super musim depan setelah menang tipis 1-0 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam hasil jaringan Pablo Andres Vranjican pada minit ke-32.
Dua lagi perlawanan Liga Super membabitkan pertemuan Pulau Pinang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang serta Sarawak dan Kelantan di Stadium Negeri Petra Jaya, masing-masing berakhir dengan keputusan seri 1-1. – BERNAMA