TRANSFORMASI pelakon Hafreez Adam Aizat dari berwajah penuh berjerawat batu kepada ‘hensem’ bergaya sememangnya mengejutkan ramai suatu ketika dahulu.
Dek kerana kisah silam yang dialaminya itu juga, Hafreez, 26, mengakui hingga kini masih lagi menjadi bahan sindiran dan gurauan.

Pun begitu, Hafreez memberitahu, dia tidak berasa malu kerana niatnya pada waktu itu hanya mahu berkongsi tips serta motivasi kepada peminatnya yang melalui masalah yang sama.
“Masih ada lagi peminat yang datang dan memerli saya jika bertemu di luar, malah masih ada yang meninggalkan komen di laman sosial.
“Kadang-kadang kelakar juga kerana saya ingatkan jika ia satu cerita yang tidak penting, mengapa orang masih mengingatinya.
“Ya, ia memang disalahtafsirkan kerana ada sesetengah pihak cuma membaca sedikit sahaja daripada keseluruhan artikel dan terus menghakimi saya.
“Namun apa yang penting ialah niat saya bercerita adalah untuk memberi motivasi bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, itu sahaja,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan.
Jelas Hafreez , perkara itu juga membuatkan dia belajar banyak perkara khususnya tentang penerimaan seseorang yang berbeza-beza.
“Antara perkara yang saya sedar selepas terjadinya kes itu ialah pemahaman orang itu berbeza-beza dan kita hanya boleh cuba menjelaskan keadaan sebenar setakat yang terdaya.
“Selepas cerita jerawat batu, saya semakin prihatin dan peka tentang apa yang sesuai untuk dikongsi agar tidak lagi timbul salah faham seperti itu,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, aktor ini bakal muncul dalam filem lakonannya berjudul Juvana 3. – MYNEWSHUB.CC