PUTRAJAYA – Malaysia selaku anggota Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menikmati perkongsian manfaat bersama yang telah wujud lama dengan agensi itu dalam aplikasi kegunaan aman teknologi nuklear untuk pembangunan sosio-ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri berkata IAEA memainkan peranan penting dalam mempromosi aplikasi aman sains dan teknologi nuklear dalam membantu negara anggota untuk semakin hampir mencapai matlamat dan keutamaan pembangunan.
“Sebagai anggota IAEA sejak 1969, Malaysia kini meningkatkan peranan dan sumbangannya kepada keamanan, keselamatan dan pembangunan global – daripada sebuah negara penerima kepada memperkongsikan kepakaran dan pengalamannya dengan negara-negara lain,” kata beliau semasa menghadiri Sesi Biasa ke-60 Persidangan Agung IAEA di Vienna, Austria.
Teks ucapan beliau dikeluarkan kepada media di sini.
Ketika memasuki tahun ke-60 IAEA, Nancy memuji bahawa banyak pencapaian dihasilkan agensi itu di bawah kepimpinan Ketua Pengarah IAEA, Yukiya Amano dan pejabatnya.
“Pencapaian positif ini seperti pembangunan standard keselamatan nuklear, panduan keselamatan nuklear dan pengukuhan pelaksanaan kawalan keselamatan serta promosi pemindahan teknologi wajar mendapat pengiktirafan penuh kami,” kata beliau.
Sementara itu, Nancy berkata Malaysia gembira dengan permulaan kolaborasi Malaysia-IAEA mengenai integrasi penubuhan “Nuclear Security Detection Laboratory and Physical Protection Laboratory” di bawah Pusat Sokongan Keselamatan Nuklear Kebangsaan Malaysia (NSSC).
Beliau berkata kolaborasi seumpama itu akan menggalakkan NSSC Malaysia dalam menyokong dan memperkukuh program pembinaan kapasiti untuk keselamatan nuklear di peringkat nasional dan serantau.
Beliau berkata Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklaer tahun ini mencerminkan pentingnya memperkukuh keselamatan nuklear dan daya usaha kita untuk mewujudkan dunia bebas senjata nuklear.
“Penguatkuasaan Pindaan kepada Konvensyen mengenai Perlindungan Fizikal Bahan Nuklear pada Mei tahun ini dan Persidangan Antarabangsa IAEA mengenai Keselamatan Nuklear pada 5 Dis akan mengukuhkan lagi komitmen kita dalam memperkukuh keselamatan nuklear,” kata beliau. – BERNAMA

