PENYANYI, Datin Alyah menegur sebuah syarikat penerbitan drama televisyen kerana didapati menggunakan lagu terbaharunya, Engkau Milikku tanpa mendapat kebenaran dirinya sendiri.
Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan berkata, lagu tersebut diberikan hak eksklusif kepada syarikat Grand Briliance Sdn. Bhd. bagi lagu tema sebuah filem terbitan mereka pada awal tahun depan.
Namun lagu Engkau Milikku yang adalah sepenuhnya ciptaan Alyah digunakan oleh syarikat produksi Global Station menerusi drama berjudul Lara Aishah dan kini ditayangkan di saluran Astro Prima.
Harian Metro melaporkan, isu penggunaan lagu itu sudah selesai apabila Alyah menerima kiriman emel daripada syarikat terbitan itu dan ianya jelas menunjukkan berlakunya salah faham yang berpunca daripada pihak lain.
“Mereka mendapatkan lagu itu daripada syarikat rakaman Sony Music selaku pengedar lagu saya. Jadi saya faham kenapa mereka menggunakan lagu itu di dalam drama mereka.
“Saya juga sudah minta penjelasan daripada pihak terbabit dan hantar mesej berbentuk peringatan di mana semua lagu saya perlu mendapatkan keizinan terlebih dahulu sebelum digunakan dalam mana-mana penerbitan,” katanya.
Global Station dilaporkan sudah memohon maaf kepada Alyah semalam atas kesilapan mereka yang tidak sensitif dengan pemilikan eksklusif lagu berkenaan dan berjanji tidak akan mengeluarkan lagu itu bermula pada episod 21. – MYNEWSHUB.CC