JENAZAH pakar ilmu fekah, Mohd. Fadzli Al Yamani yang menghembuskan nafas terakhir Selasa lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou tidak dibenarkan dikebumikan di China susulan peraturan kerajaan China.
Sebelum ini, jenazah Allahyarham dilaporkan akan dikebumikan di Guangzhou, China, di sisi makam sahabat Sayyidina Saad bin Abi Waqqas RA, namun ianya tidak dapat dilakukan kerana sekatan dari kerajaan negara itu.
Anaknya, Muhammad Abdurrahman dalam kenyataan berkata sedih dengan perkara itu apabila dimaklumkan sejak 20 tahun lalu tiada orang asing dibenarkan dikebumikan di negara berkenaan.
Menurutnya, antara isu lain yang timbul adalah pejabat di negara itu akan bermula cuti selama 10 hari bermula Sabtu lalu kerana cuti hari kebangsaan dan tiada sebarang urusniaga akan dilakukan.
Kata Muhammad Abdurrahman, beliau tidak sanggup menunggu lebih 10 hari bagi menguruskan pengembumian kerana tidak mahu menyeksa jenazah bapanya.
“Kami mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Kedutaan Malaysia di China kerana bertungkus lumus menguruskan jenazah dan memberi kenyataan yang begitu jelas kepada kami,” katanya yang nekad membawa pulang jenazah bapanya selewatnya-lewatnya hari ini.
Baca: Ulama Malaysia Meninggal Dunia Di China
Selepas empat hari penantian, Madrasah Tahfiz Al Yamani dalam satu kenyataan mengesahkan jenazah pakar ilmu fekah itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi Ahad ini.
Menurut Muhammad Abdurrahman, jenazah sebelum itu akan dimandi dan dikafankan hari ini di Guangzhou, China kira-kira jam 2 petang ini dan solat ghaib hanya boleh dilakukan selepas itu.
Sehubungan itu, semua ahli keluarga, sahabat dan pelajar yang mengenalinya dijemput datang solat jenazah di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur jam 10 pagi Ahad ini.
Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan di Raudatul Sakinah KL-Karak Batu Muda Gombak.
“Pihak madrasah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu membawa jenazah Almarhum pulang ke Malaysia. Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik semua.
“Marilah kita sama-sama berdoa semoga roh almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama dengan para solihin… Amiin,” kata Muhammad Abdurrahman.
Allahyarham meninggal dunia setelah rebah di lapangan terbang Guangzhou semasa menunggu bas ke hotel kira-kira pukul 12.30 tengah malam (sama waktu dengan Malaysia).
Allahyarham yang juga tetamu jemputan rancangan Tahsin Ibadah di Radio IKIM.fm berada di China untuk urusan dakwah bersama-sama 28 pendakwah lain.
Mereka dijadualkan mengambil lima kanak-kanak Cina Muslim untuk ditempatkan di Madrasah Al Yamani di Kampung Baru, Kuala Lumpur. – MYNEWSHUB.CC