Laporan berita tanpa kru barangkali hanyalah kiriman live audio melalui telefon. Tanpa kru, mustahil laporan berita akan lengkap dengan visual, audio dan suntingan pakej maklumat yang kemas.
Apa lagi, kalau operasi berita dengan maklumat secara Live dari Tanah Suci.
Begitulah pentingnya kru.
Jasa kru bertambah besar dalam kes liputan Musim Haji. Ini kerana selain bekerja dengan bebanan tugas harian membantu wartawan dan penerbit mendapatkan bahan berita, kru juga perlu memenuhi jadual beramal kerana mengadap Allah di Tanah Suci.
Bagi kru TV Alhijrah, Muhammad Farid Affy Omar (editor), Fauzi Salim (jurukamera) dan Amizan Amanir (penerbit teknikal) mereka bekerja antara 16 ke 18 jam sehari. Itu lumrah.

Malah, bukan sehari, tetapi selama dua bulan sejak menjejak kaki di Madinah pada 28 Julai lalu.
Tiga kru ini berkhidmat membantu penyediaan pakej laporan harian Tim TV Alhijrah yang diketuai penerbit, Ainur Mardhiah Az Zahra dan hos, Syafinaz Yunus.
Selain menyediakan laporan bagi Berita Al Hijrah, tiga kru ini turut memainkan peranan dalam penyediaan bahan Live via Instagram @tvalhijrah114.
Tugas tambahan dalam usaha dakwah untuk menghidupkan suasana meraikan Musim Haji 1437 via gajet.
Percayalah! Tanpa kru dunia maklumat hanyalah kisah kelam yang bisu!

