KUALA LUMPUR – Penganjuran Sukan SEA ke-29 tahun depan akan menjadi temasya pertama negara yang menekankan konsep ‘Green Games’, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata Malaysia sebagai tuan rumah acara itu mengambil pendekatan untuk mempromosi penjagaan alam sekitar untuk kehidupan lebih lestari.
Katanya, beberapa langkah dan perancangan telah diatur bersama Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi tujuan itu termasuk menyediakan tong kitar semula di tempat perlawanan, pengurusan tenaga yang lebih cemerlang serta penjualan makanan yang kurang menggunakan beg plastik.
“Selain bersukan, kita juga mahu galakkan golongan muda khususnya, untuk sama-sama menguruskan alam sekitar dengan baik dan meningkatkan kesedaran orang ramai,” katanya selepas majlis penutup ‘Pre Conference: Youth and Environment’ anjuran Persatuan Wanita Asia Tenggara dan Pan Pasifik (PPSEAWA) di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya Khairy berkata pengurusan sisa pepejal dan polisi alam sekitar yang baik menjadi penanda aras kepada kemajuan sesebuah negara.
“Kemajuan sesebuah negara tidak diukur pada kecanggihan bangunan dan prasarana yang dimiliki..kita boleh ada fasiliti kelas pertama tapi jika rakyat masih mempunyai mentaliti kelas ketiga, maka kita akan terus menjadi negara ketiga,” kata Khairy.
Beliau menarik perhatian bahawa langkah kerajaan mewajibkan pengasingan sisa pepejal dapat menjimatkan kos pengurusan dan pembersihan yang menelan perbelanjaan hampir RM2 bilion setahun.
Di Kuala Lumpur sahaja katanya, jumlah pembuangan sisa pepejal mencecah 2,500 tan metrik sampah sehari atau purata jumlah sampah yang dibuang individu adalah sebanyak 1.4 kilogram sehari. – BERNAMA