KUALA LUMPUR – Seramai tiga penjawat awam, dua daripadanya berpangkat Datuk Seri dan Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini atas dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.
Pengarah Siasatannya, Datuk Azam Baki berkata, mereka yang ditahan itu masing-masing berkhidmat di salah satu jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan ditahan kira-kira pukul 12 dan 2 petang ini.
“Selaras dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad baru-baru ini yang mahu membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, SPRM telah menjalankan operasi serentak di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.
“Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 50-an,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Azam berkata, susulan penahanan tersebut, akaun milik ketiga-tiga individu berkenaan lebih RM13 juta dibekukan, meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap yang ditahan.
Kata beliau, turut disita beberapa kondominium mewah termasuk `penthouse’, rumah banglo serta kenderaan mewah antaranya Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai hasil rasuah dan penggubahan wang haram.
“Dalam serbuan secara serentak pada hari ini, SPRM juga turut menjumpai wang tunai kira-kira RM400,000 termasuk mata wang asing bernilai serta beberapa utas jam tengah mewah,” katanya.
Menurutnya, siasatan dibuat di bawah seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jelasnya, di bawah kesalahan seksyen Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi.
“Bagi Akta Penggubahan Wang haram pula, boleh penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM 5 juta mana yang lebih tinggi.
“Siasatan SPRM masih diteruskan dan semua yang ditahan dijangka akan direman di mahkamah majisteret esok,” katanya. – MYNEWSHUB.CC