LARUT – Penyertaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Harapan bersama-sama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) hanya untuk kepentingan parti itu sendiri, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata sikap mementingkan diri PKR itu terbukti apabila ia menolak cadangan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya negeri mengejut.
“Pembangkang (Pakatan Harapan) ini ibaratnya satu kumpulan yang hanya boleh tinggal serumah, tapi tidak boleh duduk semeja apabila ada cadangan ia hanya jadi cadangan.
“Misalnya sewaktu PKR nak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh (Mei 2015) dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang (Mac 2014) mereka tidak minta persetujuan daripada DAP,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Larut di sini hari ini.
Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut berkata DAP sebenarnya tidak sedar bahawa PKR hanya menggunakan parti itu untuk mendapatkan sokongan kaum Cina.
Sebaliknya, DAP pula menggunakan PKR untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi Melayu lebih-lebih lagi selepas PAS meninggalkan Pakatan Pembangkang, katanya. – BERNAMA

