SRI AMAN – Seorang pemandu maut apabila kereta Toyota Spaco yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori dalam kemalangan jalan raya di KM17 Jalan Kejatau, Lingga Sri Aman pagi tadi.
Sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman bergegas ke tempat kemalangan untuk memberi bantuan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.31 pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, lelaki itu yang berusia 39 tahun, dikenali sebagai Rhowdy Anak Josh disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Sri Aman yang turut bergegas ke tempat kemalangan.
Katanya, anggota bomba terpaksa menggunakan alat penyelamat untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam keretanya.
Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA

