SELEPAS lima hari dalam tahanan, pengarah dan penyanyi rap kontroversi, Namewee dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Harian Metro melaporkan, Namawee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, 33, dibebaskan sementara menunggu arahan daripada pejabat Peguam Negara dikeluarkan.
Pada Ahad lalu, Namewee berjaya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira pukul 3.20 petang sejurus tiba dari Taiwan.
Sebelum ini, Namewee dikatakan merakam video berdurasi lebih empat minit bertajuk ‘Oh My God’ di mana klip video berkenaan dirakamkan sekitar kawasan rumah ibadah termasuk tokong, gereja, masjid serta beberapa lokasi tarikan pelancong.
Dalam klip video itu, terdapat empat lelaki berpakaian mengikut agama termasuk paderi, sami Buddha serta seorang Islam lengkap berpakaian jubah dan berserban menyanyikan lagu berentak Rap itu yang turut dirakamkan di dalam kawasan ibadah.
Terdapat beberapa aksi yang dipercayai berunsur penghinaan apabila perkataan Allah disebut beberapa kali dalam lirik lagu termasuk menyentuh gelas arak sambil bermain judi serta menyanyi dan menari di dalam Masjid Terapung, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Video tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa pihak yang membuat laporan polis sejak sebulan lalu bagi memastikan Namewee dikenakan tindakan sewajarnya. – MYNEWSHUB.CC

