SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari Amanjaya, dekat sini, meninggal dunia dipercayai akibat didera berikutan terdapat kesan lebam lama dan baru pada seluruh badannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata kanak-kanak itu meninggal dunia ketika ibunya dalam perjalanan membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, kira-kira 9.40 malam, Rabu lepas (10 Ogos).
“Menurut doktor, kanak-kanak perempuan terbabit disyaki didera kerana mempunyai kesan lebam pada bahagian perut dan kemaluan, selain kesan lebam lama dan baru di seluruh badannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya mangsa berada di bawah jagaan ibu dan teman lelaki ibunya, sementara bapa mangsa berada di Pusat Pemulihan Dadah Dengkil sejak Disember tahun lalu.
Susulan kejadian itu, ibu mangsa yang berusia 22 tahun dan teman lelakinya berusia 24 tahun ditahan reman selama seminggu, bermula semalam sehingga 17 Ogos ini untuk membantu siasatan, katanya.
Md Zukir berkata hasil semakan juga mendapati mangsa pernah didera pengasuhnya pada 9 Jan tahun lalu dan pengasuh berkenaan telah dituduh di mahkamah pada 1 Feb 2016. – BERNAMA

