HONG KONG – Taufan Nida membadai Hong Kong awal pagi Selasa, dengan angin kencang kuat berjaya melumpuhkan sebahagian besar pulau hab kewangan terkenal di China itu.
Bencana alam sekitar tersebut juga menjejaskan ratusan penerbangan di lapangan terbang antarabangsa Chek Lap Kok di sini, sementara kawasan-kawasan rendah pula diberi amaran mengenai ancaman banjir kilat.
Taufan besar-besaran pertama yang melanda Hong Kong pada tahun ini membawa angin kencang yang bertiup lebih 100 kilometer sejam selepas mengganas di wilayah Guangdong, China yang berjiran dengan Hong Kong.
Situasi itu malah menyebabkan balai cerap tempatan terpaksa mengeluarkan amaran warna jingga, yang menandakan tahap hujan lebat, pada pukul 5.20 pagi waktu Hong Kong (sama waktu dengan Malaysia).
Lebih 150 penerbangan dibatalkan, menurut penguasa lapangan terbang. Manakala syarikat Cathay Pacific dan Dragonair memberi amaran bahawa semua penerbangannya tidak beroperasi sehingga lewat petang Selasa.
Ratusan penumpang dilaporkan terkandas di dalam terminal lapangan terbang dan sekitar 325 penerbangan terpaksa dijadualkan semula. Puluhan perkhidmatan operasi feri, tram dan bas juga digantung.

Nida sedang bergerak perlahan-lahan menuju kawasan pedalaman Guangdong dan angin di tengah taufan tersebut bagaimanapun menunjukkan tanda-tanda akan menjadi lemah, menurut Balai Cerap Hong Kong.
Hong Kong Exchanges and Clearing Limited mengumumkan bahawa perdagangan pasaran sekuritinya pada sebelah pagi, termasuk perdagangan Shanghai-Hong Kong Stock Connect, dan pasaran derivatif ditangguhkan.
Ia susulan Isyarat Taufan No.8 sudah dikeluarkan pihak berkuasa. Sesi dagangan pada sebelah pagi di bursa saham Hong Kong ditangguhkan apabila isyarat taufan kekal pada tahap 8 pukul 9 pagi waktu tempatan.
Kebanyakan jalan raya di serata Hong Kong sunyi sepi dan kedai-kedai perniagaan pula ditutup sejak malam semalam apabila isyarat taufan No.8 dikeluarkan, hingga ramai penduduk terpaksa pulang dari kerja lebih awal.
Wilayah Guangdong yang berhampiran Hong Kong pula dilaporkan mengarahkan penutupan pejabat-pejabat kerajaan, kilang dan sekolah semalam sebagai persiapan siaga bagi menghadapi kemaraan Taufan Nida.
Bulan lalu, Taufan Nepartak menyebabkan sekurang-kurangnya 420,000 warga China melarikan diri dari rumah dan mencatat kerugian lebih 7.1 bilion yuan (RM4.3 bilion) di wilayah Fujian sahaja. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

