ROANOKE – Seorang lelaki yang melaungkan ‘Allah Maha Besar’ mencederakan seorang lelaki dan seorang wanita di Virginia dengan menikam mangsa berulang kali selepas mendengar suara meminta dia menyerang seseorang.
Wasil Farooqui menyerang pasangan itu dengan pisau ketika mereka memasuki bangunan pangsapuri petang Sabtu lalu di Roanoke, kata polis dalam kenyataan.
Menurut saksi, Farooqui menjerit ‘Allahu Akbar’.
Mangsa lelaki bergelut dengan Farooqui, yang melarikan diri dari tempat kejadian, kata polis. Dia kemudian tiba di hospital untuk mendapatkan rawatan kecederaan yang dialami dan ditahan.
Farooqui, 20, dari Roanoke, didakwa dengan dua tuduhan mencederakan dengan teruk dan ditahan tanpa ikat jamin di Penjara Virginia Barat.
Farooqui memberitahu detektif dia meninggalkan rumah untuk menenangkan fikiran dan membawa bersamanya pisau pemotong daging, menurut waran tangkap yang diperoleh WSET-TV.
Katanya, dia mendengar suara ‘memberitahu dia bodoh’ dan supaya menyerang seseorang.
Farooqui kemudian melihat seorang lelaki dan seorang wanita meninggalkan kolam mandi di bangunan itu dan menikam mereka beberapa kali.
Farooqui berkata, tidak tahu siapa yang diserang atau mengapa dia berbuat demikian. – AP/BH ONLINE

