PELAKON dan penyanyi jelita, Erra Fazira sebelum ini menerima pelbagai reaksi daripada netizen berikutan video anaknya, Engku Aleesya kurang fasih berbahasa Malaysia.
Menurut Erra kepada laman mStar Online, anaknya itu lebih selesa berbahasa Inggeris. Bagaimanapun, dia akan memastikan anaknya itu mampu menguasai bahasa ibunda.
“Secara dasarnya dia memang lebih selesa berbahasa Inggeris tetapi sekarang saya sering bercakap dalam bahasa Malaysia dengannya.
“Dia masih kanak-kanak dan ini bukan soal bahasa apa yang dia kuasai tetapi sebagai ibu saya kena mendidiknya agar semua perkara seimbang,”katanya.
Meskipun anaknya lebih fasih berbahasa Inggeris berbanding Malaysia, namun Erra tetap berharap mahu melihat Aleesya membesar dengan jati diri Melayu yang kuat.
“Jika ada kesempatan pulang ke kampung saya selalu dedahkan dia dengan pelbagai perkara yang biasa saya lakukan semasa kecil. Tiada istilah nak jadikan dia urban kerana ia tidak benar,” jelas Erra.
Walau bagaimanapun, setiap komen negatif yang diutarakan oleh netizen dianggap sebagai proses baginya mendidik Aleesya dan setiap kritikan itu tidak menjadi kudis dalam hidupnya.
“Ia satu proses dalam mendidiknya dan kritikan orang terhadap saya atau pun anak saya tidak menjadi kudis,” ujarnya.
Perkembangan terbaru Erra, dia baharu sahaja melancarkan rangkaian wangiannya sendiri yang diberi nama  Forget Me Not dan Loveable.
Bagi peminat-peminat aktres ini bolehlah dapatkan Forget Me Not yang pada harga RM88 (50ml) manakala Loveable (30ml), RM49.90. -MYNEWSHUB.CC