KUANTAN – Sebanyak 22 rumah penduduk terjejas akibat kejadian ribut dan hujan batu yang melanda perkampungan Felda Bukit Goh di sini, petang, kelmarin.
Penduduk, Wan Nor Hayati Wan Hussin, 43, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua anaknya dan seorang anak saudara berada dalam rumah sebelum terdengar dentuman guruh kuat disusuli angin, petir dan hujan batu pada kira-kira jam 4 petang.
“Saya dapat lihat deruan angin bercampur hujan berwarna putih berpusing-pusing tak jauh dari rumah dan dengar bunyi bising atas rumah seperti batu.
“ALLAH saja tahu perasaan kami ketika itu. Anak (Mohamad Shahrul Ikmal, 13) pula menangis minta maaf sambil kata kiamat dah tiba…kami semua berpelukan,†katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong 3, Felda Bukit Goh di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, dia menyedari bumbung rumahnya tercabut apabila melihat air menitis di atas lantai di ruang tamu.
“Bila saya tengok lantai basah, baru saya sedar atap rumah bocor,†katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Faridah Pasmi, 45, dan Ahmad Bakar, 68, hanya mampu menangis sambil berdoa supaya terselamat apabila dinding dan bumbung rumah mereka tercabut diterbangkan angin.
Faridah berkata, dia dan suaminya yang uzur akibat angin ahmar sejak setahun lalu amat ketakutan ketika itu.
“Bila tengok bumbung tercabut.. saya takut rumah roboh lalu terus papah suami berteduh berhampiran rumah jiran.
“Apa saja kemungkinan boleh berlaku, kalau saya dan suami ada di situ, tak tahu apa jadi. Jadi saya terus tinggalkan rumah,†katanya.
Walaupun mengalami kerugian, dia bersyukur kerana masih dipanjangkan usia. – Sinar Harian Online