TERTARIK melihat seekor buaya bersaiz besar, seorang jurufoto dari Australia mengambil keputusan merakam video haiwan reptilia itu menerusi kamera drone miliknya.
Bagaimanapun, Sean Scott terkejut apabila buaya tersebut tiba-tiba melompat dari air sungai yang tenang, hendak ‘membaham’ kamera drone yang terbang di atasnya.
Aksi penuh dramatik yang berlaku di Sungai Ord, Kimberley tersebut turut berjaya dirakam oleh Scott.
“Kami pergi ke sana menggunakan perahu kecil kami. Di sungai itu seekor bangkai lembu terapung menyusuri sungai. Jadi terdapatnya sekumpulan buaya, ada buaya di mana-mana.
“Tetapi ada satu buaya yang amat besar. Jadi saya terbangkan drone ke arah buaya itu dan turunkan ia sedikit untuk lebih dekat.
“Buaya itu hanya diam. Namun ketika drone itu terbang betul-betul atas hidungnya dan itu sudah cukup untuknya melakukan sesuatu.
“Buaya itu hampir memakannya,” kata Scoot seperti dikutip The Huffington Post Australia.
Video tersebut kini menjadi viral sebaik sahaja dimuat naik Scott menerusi laman Instagramnya. – MYNEWSHUB.CC

