KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini menyaksikan Arkib Negara Malaysia dan Wanita UMNO bergabung dengan hab transit dan pusat beli-belah di sini, masing-masing mahu menyebarkan mesej patriotik menjangkaui khalayak yang lebih luas.
Bertempat di NU Sentral, Arkib Negara bekerjasama dengan pusat beli-belah itu untuk menganjurkan pameran bertajuk “Sejarah Mampu Membentuk Masa Depan NU†(History Can Shape a NU Future) yang berlangsung dari 15 Ogos hingga 17 Sept. Pameran tersebut mengetengahkan pencapaian para pemimpin terdahulu negara dan cabaran yang mereka hadapi dalam usaha mencapai kemerdekaan negara ini dan membentuk identiti Malaysia.
Sementara itu, di KL Sentral, sekumpulan pemimpin Wanita UMNO dan sayap wanita parti-parti komponen Barisan Nasional lain, termasuk MIC dan Kimma, mengadakan perhimpunan kecil pada petang Isnin untuk menyerahkan Jalur Gemilang versi mini kepada para pembeli dan pengunjung, dalam usaha memupuk lebih kesedaran mengenai Hari Kebangsaan kita di kalangan orang ramai.
Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelidikan dan Pengembangan Arkib Negara, G. Savumthararaj berkata agensi itu mendapati bahawa bekerjasama dengan pusat beli-belah adalah cara yang lebih mudah dan berkesan untuk menyampaikan mesej kepada generasi muda mengenai Merdeka dan perjuangan para pemimpin negara pada masa lalu.
“Ini kerana kira-kira 85 peratus daripada pembeli dan pengunjung di pusat beli-belah terdiri daripada generasi muda. Ini adalah kali kedua kami bekerjasama dengan NU Sentral sempena sambutan Hari Kebangsaan, kali pertama pada tahun lalu. Pameran ini adalah cara kami mendekati generasi muda dan menyatakan kepada mereka akan kepentingan sejarah dan perpaduan kita.
“Kita dapati pusat beli-belah lain lebih berorientasikan perniagaan, sebaliknya NU Sentral telah menerima kerjasama ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya kepada Bernama.
Savumthararaj berkata berdasarkan pemerhatiannya, generasi lama dilihat lebih patriotik dan berpengetahuan mengenai negara dan sejarahnya.
“Semasa pameran di Langkawi beberapa tahun lalu, kami meminta beberapa remaja yang berumur antara 10 dan 12 untuk mengenal pasti nama-nama perdana menteri kita sekarang dan bekas-bekas perdana menteri, namun sedih sekali, mereka gagal melakukannya,” katanya.
Pengurus Besar NU Sentral Victor Wong berkata pameran itu mendapat maklum balas positif daripada generasi muda di media sosial.
Katanya beberapa universiti tempatan juga telah meminta pihak pengurusan pusat beli-belah itu supaya memaklumkan mereka mengenai sebarang pameran seumpama itu yang akan diadakan pada masa depan supaya kalangan penuntut boleh menggunakan bahan pameran sebagai sebahagian daripada bahan pembelajaran mereka.
Beliau berkata banyak pelancong juga telah singgah di pameran itu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah Malaysia.
Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata beliau juga pernah bertemu dengan golongan pelancong yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Hari Kebangsaan negara ini.
“Berdasarkan beberapa sambutan yang pernah dianjurkan sempena Hari Kebangsaan sebelum ini, ramai warga asing yang bertanyakan apa yang sedang berlaku… dan mereka juga gemar mengambil gambar dengan bendera kita,” katanya ketika ditemui di KL Sentral.
Mengenai kesedaran Hari Kebangsaan di kalangan generasi muda, Noraini berkata mereka mempunyai cara tersendiri untuk menggambarkan semangat patriotik mereka.
“Mereka menggunakan media sosial, seperti ‘Merdeka Selfie’, untuk menterjemahkan semangat patriotik. Mereka menyambut dengan cara mereka sendiri.
Saya percaya semua rakyat Malaysia mahu negara menjadi aman dan bersatu,” katanya. – BERNAMA

