PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengadakan kerjasama strategik dengan agensi-agensi keselamatan maritim dari negara luar bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata kerjasama meliputi perkongsian maklumat risikan dan rondaan dilaksanakan dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Myanmar.
“APMM bersama agensi maritim dari luar negara bekerjasama dan meletakkan aset seperti bot peronda di kawasan perairan bagi mengelak kebolosan pendatang haram.
“Selain itu, pemantauan dan rondaan bersama juga sentiasa dijalankan bersama agensi dalam negara seperti Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata sejak 2006 sehingga 24 Ogos lepas, seramai 849 PATI ditahan kerana cuba memasuki negara secara tidak sah dengan Perairan Sabah mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 487 orang.
“Ini diikuti Selat Melaka iaitu 322 orang, Johor (19), Pantai Timur (18) dan Sarawak iaitu tiga,” katanya sambil menambah kebanyakkan PATI yang ditahan adalah warga Indonesia dan etnik Rohingya.
Ahmad Puzi berkata sebanyak 25,013 pemeriksaan dilakukan APMM ke atas kapal terutama di perairan Sabah sejak awal Januari hingga 24 Ogos tahun ini.
“Kami sentiasa mengutamakan keselamatan perairan negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membawa masuk PATI ke dalam negara,” katanya. – BERNAMA