MANILA – Petugas imigresen di lapangan terbang antarabangsa Ninoy Aquino di sini berjaya menahan  177 rakyat Indonesia kerana menyamar menjadi warga Filipina dengan menggunakan kuota haji negara Kristian tersebut.
Para bakal jemaah ibadah haji tersebut malah dikesan menggunakan pasport antarabangsa Filipina dicekup sebelum mereka sempat memasuki ke dalam sebuah pesawat asing pada 19 Ogos untuk penerbangan antarabangsa menuju terus ke Madinah, Arab Saudi.
Menurut ketua pengarah Biro Imigresen Filipina, Jaime Morente, lima rakyat negara tersebut yang secara kebetulan berada di samping jemaah warga Indonesia tersebut menuju ke Tanah Suci juga ditangkap kerana disyaki bersubahat mengatur perjalanan berkenaan.
Beliau menyatakan, pasport Filipina yang diperoleh secara haram itu dilaporkan disediakan oleh kelima-lima suspek tempatan dengan setiap seorang jemaah Indonesia itu perlu membayar antara 278,385 peso hingga 463,975 peso (RM24,093 hingga RM40,155).
Warga Indonesia itu mengguna pakai kuota haji diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada rakyat Filipina yang tidak diisi. Morente menjelaskan, identiti bakal jemaah Indonesia itu terbongkar setelah mereka didapati tidak dapat berbahasa Filipina apabila disapa.
Mereka kemudian mengaku sebagai rakyat Indonesia yang masuk ke Filipina dengan menyamar menjadi pelancong asing. Morente memerintahkan agar semua jemaah itu dikenakan tuduhan melanggar peraturan imigresen kerana menyamar sebagai warga Filipina.
Kesemua bakal jemaah haji tersebut segera ditempatkan di pusat tahanan pesalah imigresen di Taguig City. Biro Imigresen Filipina sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri dan turut menghubungi pihak Kedutaan Besar Indonesia di Manila.
Pihak berkuasa negara tersebut juga menjalankan penyiasatan untuk mengenal pasti bagaimana pasport tulen Filipina itu diperoleh dan juga untuk mengetahui identiti sebenar para jemaah haji Indonesia berkenaan sebelum mereka dapat dihantar pulang ke tempat asal.
Pihak imigresen berkata, pihaknya perlu memantau kes rombongan jemaah itu setelah Presiden Rodrigo Duterte menyatakan ada warga asing menggunakan pasport asli Filipina disediakan oleh pegawai yang korup dalam menangani urusan haji masyarakat Islam tempatan.
Filipina yang mempunyai lima juta umat Islam hanya diberi kuota haji oleh kerajaan Arab Saudi sebanyak 8,000 jemaah, manakala Indonesia negara paling ramai penganut Muslim di dunia menerima kuota 200,000 jemaah setiap tahun. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA