HULU TERENGGANU – Tiga pekerja sebuah syarikat swasta ditemui selamat selepas terkandas hampir 20 jam di kawasan Hutan Simpan Kenyir di sini hari ini.
Ketiga-tiganya yang berusia antara 19 tahun hingga 32 tahun memasuki hutan berkenaan kira-kira 7 pagi semalam untuk melakukan kerja-kerja mengukur kawasan sempadan.
Menurut Sahid Ruhaizad, 28, kira-kira pukul 4 petang, mereka selesai membuat ukuran dan setengah jam selepas itu mereka mencari jalan keluar dengan menggunakan GPS.
“Namun ketika meneruskan perjalanan keluar hari hutan, GPS kami kehabisan bateri. Kami terpaksa menggunakan kompas untuk menjejaki jalan keluar sehingga pukul 9 malam.
“Kami menuju arah ke utara namun kami mendapati kami makin jauh dan kehilangan arah serta kami turut disengat tebuan,” katanya.
Sahid berkata cuaca yang semakin gelap menyebabkan mereka mengambil keputusan menghubungi pihak bomba bagi meminta bantuan.
Ahmad Umar Abas, 32, pula berkata ekoran berasa bimbang akan terus tersasar jauh, mereka membuat keputusan untuk berehat sementara menunggu bantuan tiba.
Katanya mereka hanya bergantung dengan bekalan air sungai setelah kehabisan bekalan yang dibawa.
“Kami mula keletihan dan bekalan pun habis. Kami hanya minum air sungai,” katanya.
Sementara itu Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Wan Azmi Ahmad berkata kesemua mangsa yang berasal dari Selangor itu berjaya ditemui kira-kira pukul 11.15 pagi tadi.
Beliau berkata kira-kira pukul 11 malam tadi, pasukan penyelamat melancarkan gerakan mencari dan penyelamat mangsa.
“Kami masih boleh berkomunikasi dengan mangsa menerusi panggilan telefon, namun cuaca gelap dan jalan yang sukar menyebabkan kami menyambung operasi pada pukul 7 pagi tadi.
“Kita mengambil masa hampir empat jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa dan terpaksa menempuhi laluan balak dan pendakian,” katanya.
Jelasnya mangsa tersasar hampir lapan kilometer dari lokasi terakhir mereka melakukan kerja-kerja pengukuran dan kesemua mangsa yang keletihan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

