WALAUPUN baharu terlibat dalam bidang lakonan, penyanyi Alif Satar ternyata berjaya membuktikan dia anak seni yang serba boleh.
Buktinya, lihat sahaja fenomena yang dibawanya menerusi drama bersiri Dia Semanis Honey.

Dek kerana itu juga membuatkan pelakon jelita Scha Al Yahya mengimpikan untuk bergandingan dengan Alif Satar.
“Saya memang sudah lama ingin berlakon dengan Alif Satar. Saya mengikuti perkembangannya sejak program One In A Million dan kemudian menyerlah dalam Dia Semanis Honey.
“Melihat keterampilannya tidak kira ketika mengendalikan program mahu pun berlakon, beliau cukup bijak dan bersahaja. Vokalnya selaku penyanyi juga menyerlah.
“Pada masa sama, beliau membuktikan status bapa dan lelaki yang sudah berkahwin bukan penghalang untuk terus melakar kejayaan.
“Bagi saya, status seseorang selebriti juga sangat subjektif. Lihat saja kemampuan dan kesabarannya, drama bersiri yang menggandingkannya dengan Siti Nordiana kini terus menjadi sebutan,” katanya kepada BH Online.
Bagaikan impian jadi kenyataan, seorang produser secara kebetulan menawarkan Scha untuk membintangi sebuah telefilem bersama Alif Satar. Pastinya, tawaran yang dianggap sebagai peluang ini diambil oleh Scha.
Jelas Scha, penggambaran telefilem itu bakal bermula bulan depan. – MYNEWSHUB.CC