KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki yang dipercayai menyebabkan seorang anggota polis trafik Kuala Lumpur cedera dalam kemalangan di Jalan Kuching petang semalam, ditahan lima jam selepas kejadian.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain berkata remaja berusia 19 tahun itu ditahan sepasukan polis di sebuah restoran makanan segera di Desa Pandan pada pukul 9.30 malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati kereta jenis Perodua Axia berwarna putih yang dipandu suspek merupakan kenderaan yang disewa selama lima hari daripada perkhidmatan kereta sewa yang berpusat di Rawang sejak 14 Julai lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Nadzri berkata suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu secara melulu dan berbahaya.
Semalam, Lans Koperal Wan Mohd Fazly Wan Soho, 27, patah tangan kiri setelah motosikal yang ditungganginya dihimpit oleh sebuah kereta di Jalan Kuching susur ke Kompleks Perumahan Kerajaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, anggota polis trafik itu dalam perjalanan menuju ke arah bulatan Batu Caves yang ditutup berikutan berlaku satu kemalangan di laluan itu.
Wan Mohd Fazly bagaimanapun bertindak mengejar sebuah kereta yang memasuki laluan yang ditutup itu sejauh enam kilometer, sebelum pemandu kereta berkenaan menghimpit motosikal ditunggangi beliau sebelum pemandu tersebut melarikan diri.
Impak daripada pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan setelah terjatuh ke jalan raya dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. – BERNAMA

