KUANTAN – Sebanyak 376 penyu direkodkan mendarat di Pantai Cherating di sini, daripada awal tahun sehingga Jun lalu, meningkat daripada hanya 262 ekor pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Datuk Adnan Hussain berkata jumlah bilangan telur bagi tempoh yang sama juga meningkat iaitu sebanyak 34,869 berbanding hanya 24,204 bagi sepanjang 2015.
“Penyu mendarat di sepanjang 3.5 kilometer Pantai Cherating dan 95 peratus adalah jenis penyu Agar atau Green Turtle manakala bakinya ialah Penyu Karah dan Penyu Lipas,” katanya.
Adnan berkata demikian selepas Progam Pemuliharaan dan Kesedaran Penyu yang disempurnakan anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Tengku Abdullah di Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating di sini, semalam.
Beliau juga memaklumkan sehingga Jun lalu, kematian penyu adalah sebanyak 25 ekor, berbanding lapan bagi tahun sebelumnya.
“Trend kematian penyu adalah seiring dengan peningkatan pendaratan penyu. Sebab utama kematian ialah terkena kipas bot atau ditangkap secara tidak sengaja oleh pukat nelayan,” katanya.
Adnan berkata kewujudan pusat santuari itu berjaya memastikan kejayaan penetasan telur penyu melebihi 60 peratus setiap tahun dengan kejayan terbesar ialah sebanyak 93.2 peratus pada tahun kewujudan pusat berkenaan pada 2006.
Pada tahun lalu pula, sebanyak 15,335 daripada 24,204 telur atau 63.35 peratus berjaya ditetaskan, katanya.
“Musuh utama telur penyu ialah haiwan liar dan manusia,” katanya.
Adnan berkata secara keseluruhan, sebanyak 2,842 penyu telah mendarat di Pantai Cherating dan 251,309 telur berjaya dikutip dengan 180,163 berjaya ditetaskan dalam tempoh 10 tahun pusat itu beroperasi.
Berhubung kedatangan pelancong, Adnan berkata seramai 32,457 orang dengan 4,756 daripadanya warga asing telah melawat pusat itu pada tahun ini, manakala jumlah keseluruhan pelancong tahun lalu ialah 74,051 orang termasuk 10,365 pelancong luar negara.
“Mei hingga Ogos merupakan masa terbaik untuk melawat kerana bilangan penyu yang mendarat adalah lebih banyak menjadikan peluang mereka untuk menyaksikan penyu bertelur lebih tinggi,” katanya.
Adnan turut berharap lebih banyak syarikat swasta akan terlibat dalam usaha pemuliharaan penyu seperti dilakukan syarikat korporat perkapalan Bumi Armada Berhad yang aktif dengan aktiviti anjuran pusat itu. – BERNAMA
