BUTTERWORTH – Pelita Samudera Sdn. Bhd. yang juga pemilik rangkaian Restoran Nasi Kandar Pelita, merancang untuk membuka tiga lagi cawangan restoran itu di India, tahun depan.
Pada masa ini ia mempunyai sebuah restoran yang beroperasi di Chennai sejak 2003.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Sihabutheen Kirudu Mohammed berkata pihaknya sudah mengenal pasti lokasi di selatan India bagi pembukaan restoran itu.
“Kami masih di peringkat perancangan untuk membuka restoran secara francais di India yang dijangka beroperasi seawal tahun depan.
“Cawangan di Chennai mendapat sambutan baik penduduk yang menggalakkan kami untuk mengembangkan lagi perniagaan di sana,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka restoran itu di sini, hari ini.
Pada majlis itu, syarikat berkenaan turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan hamper barangan keperluan kepada 1,000 penerima kurang berkemampuan serta fakir miskin.
Mengulas lanjut, Sihabutheen berkata pihaknya telah membuka dua cawangan baharu di Ipoh dan Seremban pada Mei dan Jun lepas yang menjadikan 30 restorannya yang beroperasi setakat ini.
Sejak beroperasi pada 1994, syarikat yang mempunyai lebih 1,600 pekerja rakyat tempatan dan asing itu berkembang dengan baik, termasuk memperolehi sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), katanya.
Mengenai jualan, Sihabutheen berkata syarikat itu mencatat prestasi yang konsisten biarpun berdepan cabaran peningkatan kos operasi susulan kenaikan harga barang-barang mentah ketika ini. – BERNAMA

