KUALA LUMPUR – Pergerakan orang ramai secara meluas semasa cuti sekolah dan musim perayaan boleh menyebabkan jangkitan demam denggi lebih cepat merebak.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya untuk membasmi penularan wabak denggi sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Antaranya termasuk dengan memohon kerjasama semua pengusaha bas untuk melakukan semburan aerosol di dalam bas setengah jam sebelum penumpang menaiki bas.
“Ini bertujuan untuk membunuh nyamuk aedes dewasa yang mungkin berada di dalam bas dan seterusnya dapat mengelakkan penyebaran virus denggi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Noor Hisham seterusnya menggariskan beberapa lagi langkah pencegahan wabak denggi untuk diambil perhatian oleh orang ramai bersempena Hari Raya Aidilfitri seperti berikut:
1. Memastikan tiada bekas atau tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes di kawasan kediaman masing-masing semasa pulang bercuti ke kampung.
2. Memasukkan bahan pembunuh jentik-jentik ke dalam takungan air kekal terutama apabila tidak menggunakannya lebih dari tempoh seminggu.
3. Menggunakan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa yang berada di dalam rumah.
4. Menggunakan bahan penghalau nyamuk (repelen) kepada bahagian badan yang terdedah untuk gigitan nyamuk, terutama pada waktu nyamuk aktif menggigit (5–7 pagi dan 5–7 petang).
5. Mengelakkan diri daripada pergi ke kawasan wabak atau hotspot denggi. Maklumat tersebut boleh didapati daripada aplikasi mobil iDengue. – MYNEWSHUB.CC