PASIR PUTEH, 5 Julai – Polis Kelantan merampas mercun dan bunga api bernilai RM27,750 dalam tempoh sejak awal bulan lepas hingga semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata 23 orang yang ada kaitan dengan rampasan mercun dan bunga api itu telah didakwa di mahkamah manakala 14 kes masih dalam siasatan.
“Polis memandang serius penyalahgunaan bahan larangan itu kerana ia membawa kecederaan parah terutama kepada remaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ihya Ramadan dan Berbuka Puasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini, malam tadi.
Mazlan berkata mercun dan bunga api itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan secara haram di negeri ini bagi memeriahkan Hari Raya yang akan disambut esok.
Beliau berkata kes rampasan itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1952. – BERNAMA

