BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas 424 buah beg pelbagai jenama tiruan bernilai RM9,025 dalam serbuan di sebuah kedai di Jalan Perai Jaya 3, Perai dekat sini semalam.
Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Suhaimi Mat Sari berkata pemeriksaan dijalankan berikutan aduan daripada pembeli yang mendakwa membeli beg tangan tiruan di kedai berkenaan.
“Kami turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang merupakan pekerja kedai itu untuk membantu siasatan. Kedai itu milik seorang wanita yang turut menjual beg-beg itu secara online,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata antara jenama tiruan yang dirampas ialah Chanel, Bonia, Lous Vuitton dan Michael Kors (97).
Usaha mengesan wanita tempatan berusia 30-an itu giat dijalankan, katanya. – BERNAMA

