PARIS – Pada Ahad, rakyat Portugal bergembira apabila pasukan bola sepak negara itu menewaskan tuan rumah, Perancis 1-0 dalam perlawanan akhir Euro 2016 selepas pernah kecewa bergelar juara kejohanan itu 12 tahun lalu.
Namun pada masa sama, agensi berita antarabangsa AFPÂ pada Selasa melaporkan, Perancis berjaya ‘mengikat’ Portugal bukan dalam arena sukan, sebaliknya insiden lucu yang berlaku berdekatan dua negara tersebut, Britain.
Kejadian jenaka itu melibatkan sebuah kapal selam milik Tentera Laut Portugal yang sedang ikut serta dalam satu latihan biasa di luar pantai perairan England, apabila ia terjerat dalam jaring pukat sebuah kapal nelayan Perancis.
Ketika terperangkap dalam jaring nelayan, kapal selam itu sedang berlatih dengan Tentera Laut Diraja Britain di kawasan perairan yang berjarak hanya 55 kilometer dari Lizard Point, Cornwall di hujung barat daya England.
Kapal selam tersebut sedang berada di bawah permukaan laut apabila tersangkut jaring milik kapal nelayan Daytona, yang terdaftar di pelabuhan Saint-Blanc, wilayah barat laut Perancis, ketika mencari ikan di perairan itu.
“Kapal selam berkenaan tiba-tiba muncul ke permukaan laut sebelum dijerat dan terpaksa membuat perhubungan komunikasi secara manual dengan pihak kapal nelayan laut dalam tersebut,” kata pihak berkuasa maritim Perancis.

Mujur insiden yang tidak dijangka itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan pada harta benda sama ada terhadap kapal selam tentera Portugal itu atau pun ke atas kapal nelayan Perancis berkenaan.
Kapal selam jenis kelas Tridente itu merupakan sebuah kapal bertenaga elektrik dan diesel yang dibangunkan oleh sebuah syarikat Jerman, Howaldtswerke-Deutsche Werft GmbH untuk kegunaan rasmi pihak tentera laut Portugal.
Ia memiliki berat 1,700 tan jika berada di permukaan air dan 2,020 tan sekiranya menyelam. Kapal ini turut mampu bergerak laju dengan kepantasan 20 knot semasa menyelam dan 10 knot ketika berada di permukaan laut.
Jika berlayar dalam kecepatan purata 8 knot, kapal selam ini mampu bergerak sehingga 22,000 kilometer dan ia sebenarnya dirancang untuk mampu menyelam pada kedalaman maksimum 300 meter daripada permukaan laut.
Menurut media tempatan, kejadian serupa pernah berlaku pada 2004 lalu di lokasi yang lebih kurang sama, namun menyaksikan kapal nelayan Perancis bernama Bugaled Breizh hancur tenggelam di kawasan perairan Lizard Point.
Keluarga lima krew yang terbunuh ketika itu mendakwa, kapal nelayan berkenaan karam akibat jaringnya diseret kuat sebuah kapal selam tentera yang kebetulan menjalani latihan di perairan tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

